Internet Percuma Dan RM 5 Caj Penghantaran Kurier Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19


Internet Dan RM 5 Caj Penghantaran Kurier Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19. Assalammualaikum semua! Semoga kalian semua dalam keadaan baik-baik. Duduk di rumah okay. Lakukan aktiviti bermanfaat bersama keluarga tercinta. Solat, masak, makan, main game, karaoke, selesaikan puzzle, bersenam dan tidur lepas Isyak. Hehehehe. Jadikan ketika ini waktu untuk anda reset rutin harian. Terutamanya waktu tidur dan amalan ibadat okay. Siang tadi, jam 3 petang. Telah berlangsung Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia. Beliau menerangkan pelbagai manfaat. Selain dari bantuan wang ringgit, perkhidmatan internet juga mendapat perhatian rakyat. Tidak sangka semua telco bersatu hati dan MCMC berjaya memberi kita internet percuma. Jom ikuti lebih lanjut tentang perkara ini.

Internet Percuma Dan RM 5 Caj Penghantaran Kurier Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19. 

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini ternyata merupakan langkah yang tepat untuk membantu rakyat yang terkesan akibat impak COVID-19.


Industri telekomunikasi dan multimedia adalah antara sektor yang telah mendapat perhatian khusus dalam pakej tersebut. Beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi, termasuk usaha-usaha menambah baik rangkaian telekomunikasi, yang secara kolektifnya bernilai RM1 bilion.

1GB Internet Percuma Dari Semua Syarikat Telekomunikasi. Terima Kasih DiGi, Maxis, TIME, Celcom, UMobile & Telekom Malaysia


Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat. Ia termasuk inisiatif-inisiatif seperti berikut:

a) Semua pelanggan Pascabayar dan Prabayar Celcom, Digi, Maxis, dan U Mobile akan menerima internet berkelajuan tinggi percuma 1GB sehari, untuk digunakan antara jam 8 pagi dan 6 petang, bermula 1 April 2020, dan akan berkuat kuasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP;

b) Panggilan percuma ke talian hotline National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Pusat Pengurusan Operasi Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri 

Syarikat-syarikat juga turut memberi komitmen untuk melabur RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan. Pelaburan ini juga akan meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat-pusat media.

Dalam masa yang sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 pada 27 Februari 2020 untuk pelaksanaan enam (6) projek di bawah NFCP (NFCP 1-6) bagi  tahun 2020. Projek-projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah kawal selia dan tadbir urus MCMC.

Perkhidmatan Kurier Menawarkan RM 5 Caj Penghantaran Untuk Usahawan E-Dagang

Sementara itu, perkhidmatan pos dan kurier komited untuk membantu usahawan menjalankan perniagaan secara e-dagang selain dari meneruskan perkhidmatan seperti biasa untuk rakyat Malaysia. Syarikat-syarikat pos dan kurier utama turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan tambahan seperti berikut:

a) Perkhidmatan penghantaran barang pos dan kurier tidak melebihi 1 kilogram pada caj RM5 tidak termasuk cukai bagi perkhidmatan penghantaran di dalam Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

b) Kadar tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna yang berdaftar di portal digital setiap penyedia perkhidmatan pos dan kurier. Pendaftaran di portal bertujuan untuk meningkatkan kecekapan usahawan dalam menguruskan kiriman mereka serta menggalakkan penggunaan kaedah tanpa tunai;

c) Caj perkhidmatan penghantaran itu berkuat kuasa selama enam (6) bulan bermula dari 15 April sehingga 15 Oktober 2020.


Sumbangan Syarikat Telekomunikasi Dan Syarikat Kurier Kepada Tabung GDRN

Selain itu, syarikat-syarikat pos dan kurier serta telekomunikasi juga telah menyumbangkan dana berbentuk pembiayaan tunai, sistem dan peralatan ke Tabung GLC Disaster Relief Network (GDRN) berjumlah RM8.75 juta yang akan dikendalikan oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan milik Khazanah Nasional dan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan. Senarai dan jumlah sumbangan adalah seperti berikut:

Sumbangan daripada syarikat-syarikat Pos dan Kurier serta Telekomunikasi :

1. Association of Malaysian Express Carriers (AMEC) : RM 50,000
2. GD Express Sdn Bhd (GDeX) : RM 100,000
3. Huawei Technologies (peralatan berupa Sistem Telepresence, WiFi, AI Cloud dan Telefon Pintar) : RM 4,500,000 (USD1,000,000)
dan Celcom (GDRN) : RM 100,000
4. Digi (GDRN) : RM 1,000,000
5. Telekom Malaysia (GDRN) : RM 1,000,000
6. TIME (GDRN) : RM 1,000,000
7. U Mobile (GDRN) : RM 1,000,000
JUMLAH RM 8,750,000

Axiata Dan Celcom Juga Telah Menubuhkan Program Bantuan COVID-19 

Axiata iaitu satu dana khas berjumlah RM150 juta untuk membantu 150,000 syarikat-syarikat mikro-SME yang terjejas dan ia akan disalurkan melalui platform mikro-kewangan Aspirasi. 

ASTRO & UnifiTV PERCUMA

Pada ketika rakyat mematuhi PKP untuk tinggal di rumah, para penyiar swasta seperti Astro dan unifi TV sedia menawarkan akses tontonan secara percuma.

a) ASTRO
- Menawarkan 14 saluran filem dan 11 saluran berita percuma; semua saluran percuma untuk pelanggan pakej sukan;
- 22 saluran percuma menerusi aplikasi Astro-On-The-Go dan saluran KIX, Nat GEO WILD, Celestial Movies dan Cartoon Network untuk pelanggan NJOI; dan
- Pelanggan perniagaan Astro, dibenarkan untuk menggantung perkhidmatan tanpa sebarang caj.


b) unifi TV 
- Menawarkan akses percuma ke semua saluran (lebih 100 saluran);dan 
- 20% diskaun untuk setiap filem pilihan perkhidmatan Video-on-Demand.


MCMC yakin inisiatif-inisiatif yang diumumkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19, di samping membolehkan kesalinghubungan yang berterusan supaya rakyat melaksanakan tugasan harian mereka dengan lebih efisien.

Untuk butiran lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan sepanjang tempoh PKP, pihak awam digalakkan untuk merujuk atau menghubungi syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan masing-masing.

Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

MCMC adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (ASKMM) yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia. MCMC mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital. Akta Komunikasi dan Multimedia mengadakan peruntukan kepada MCMC peranan melaksanakan dasar, manakala dasar membuat keputusan adalah diperuntukkan kepada Menteri. 

Catat Komen

13 Ulasan

  1. Bestnyaaa, duduk rumah boleh guna tenet sampai lebam. Sis pakai DiGi pun dah dapat dari hrtu sehari free 1GB...kat rumah pakai wifi plak tu, so memang tak habis le data..tu punn susah benau orang nak duduk rumah ek...

    BalasPadam
  2. syukur alhamdulillah. terima kasih to our PM untuk pemberian bantuan yang sebegini di kala negara sedang menghadapi musibah sebegini kan. moga rakyat Malaysia lebih prihatin juga. bukan senang rasanya PM nak buat keputusan sebegini besar kan. :)

    BalasPadam
  3. Bagus ni dapat internet percuma tapi manfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan. Terima kasih kepada PM kita.

    BalasPadam
  4. Wahh usaha kerajaan dalam menangani masalah dan suruh rakyat Malaysia patuh perintah kawalan pergerakan ni memang sangat layak dipuji.. Dengan semua manfaat ni, memang 24jam dalam rumah jelah haha..

    BalasPadam
  5. mudah2an ini dpt beri impak positif kpd rakyat kan di musim PKP ni.
    dok rumah. siaran tv yg byk. dok rumah!
    jgn keluar tak tentu tujuan.

    BalasPadam
  6. Alhamdulillah harapnya internet percuma yang disediakan ini dapat bantu rakyat untuk kekal di rumah

    BalasPadam
  7. This is good. Thank you for sharing the information with us. Take care and stay safe Kak Ruby.

    BalasPadam
  8. Baguslah kan. Bolehla gunakan semasa berada di rumah dalam tempoh RMO ni. Btw, sis kerja ya demi netizen mendegar keluh resah dan caci maki. Walaupun tak didendang kannn. Hope semua cepat pulih. Aminn.

    BalasPadam
  9. Orang cam kita ni mmg banyak pakai tenet, lebih2 lagi time2 berkurung kat umah ni lagi le..24 jam guna. Bagus le dapat free..huhuhu, leh le kurang sikit beban kita ni

    BalasPadam
  10. Alhamdulillah dalam keadaan kita tengah krisis ini kerajaan memangdang kepada rakyat yang susah dan juga perlu terus duduk dirumah kerana ia memberi kesan secara terus kepada ekonomi sesbuah keluarga moga kita menggunakan kemudahan yang diberikan ini dengan sebaiknya....

    BalasPadam
  11. Syukurlah.. Internet sangat diperlukan hari ni. Tambahan pula masing2 tidak dapat keluar daripada rumah. Semurang2 nya kita masih mampu untuk mengetahui keadaan semasa menerusi internet.

    BalasPadam
  12. bagusnya bila ada alternatif macam ni.. sekurangnya mereka yg tertekan dengan isu covid19 diberi pengurangkan dan kelebihan akses internet

    BalasPadam
  13. alhamdulillah terima kasih atas inisiatif ini. sebab bila duduk dirumah perlulah internet

    BalasPadam

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.