Pada 25 Oktober 2025, IJM Land memperkenalkan Suria Park, taman komuniti bernilai RM3 juta di Suria Hill, Bandar Puncak Alam. Menandakan satu lagi langkah penting dalam membina perbandaran yang menyatukan manusia dan alam. Acara pelancaran turut dimeriahkan dengan Program Penanaman Pokok, simbol pertumbuhan dan kelestarian untuk generasi masa depan. Penduduk, pemimpin komuniti serta rakan strategik berkumpul seawal pagi untuk bersama-sama menanam pokok sebagai tanda komitmen terhadap kesejahteraan bumi. Setiap peserta menerima anak pokok untuk dibawa pulang, menjadikan momen ini bukan sekadar aktiviti simbolik, tetapi permulaan gaya hidup hijau di Suria Hill.
Dari kiri: Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Yang Berusaha Saudara Ezuan Miswan; Pengerusi Permuafakatan Penduduk Puncak Alam, Tn Hj Mohd Hanif Md Sultan; Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Tn Hj Mohammad Faisal Ismail; Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon; Setiausaha MPKS, Tn Hj TPr Mohamad Yusli Askandar; dan Penolong Pengurus Besar IJM Land, Tan Swee Ee, semasa pembukaan Suria Park di Suria Hill, Puncak Alam.
Suria Park: Legasi IJM Land Yang Diteruskan
Sebagai pelopor pembangunan di Puncak Alam, IJM Land bukan sekadar membina rumah, tetapi menanam nilai komuniti yang berpanjangan. Suria Park seluas 4.42 ekar ini direka sebagai ruang hijau yang menyatukan penduduk, menzahirkan semangat kesejahteraan, keterangkuman dan kelestarian.
Datuk Chai Kian Soon, Ketua Pegawai Operasi IJM Land, berkata: “Bagi kami di IJM Land, peranan kami sentiasa untuk membentuk perbandaran yang membesar bersama keluarga dan menyokong aspirasi mereka. Suria Park mencerminkan visi tersebut, ia memperkayakan rutin harian sama ada melalui larian pagi, langkah santai pada waktu senja atau permainan meriah di gelanggang. Di sini, orang ramai boleh berkumpul, berkongsi pengalaman dan merasakan diri mereka sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar dalam suasana yang selamat dan mesra. Beginilah kami meneruskan perjalanan bersama Puncak Alam, sebuah perbandaran yang berkembang seiring dengan semangat IJM Land sejak dahulu lagi.”
Tuan Haji Mohammad Faisal Ismail, Setiausaha Politik bagi Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) pula berkata: “Suria Park mencerminkan bagaimana ruang awam yang dirancang dengan teliti mampu memberikan nilai berkekalan kepada komuniti. Ia menjadi tempat di mana keluarga, jiran serta kanak-kanak dapat berkumpul dalam suasana selamat dan ceria, sekali gus memperkukuh hubungan sosial di Bandar Puncak Alam. Inisiatif ini turut menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan di Kuala Selangor, membuktikan bahawa perancangan berwawasan mampu memperindah dan memperkayakan kehidupan seharian.”
Suasana Santai, Aktiviti Riang Keluarga
Dari awal pagi, suasana Suria Park penuh dengan gelak tawa keluarga yang menikmati pelbagai aktiviti santai dan sihat.
Di antaranya:
🏃♂️ Mendaki bukit Suria Hill sambil menghirup udara segar pagi.
🏀 Pickleball dan futsal di dua Gelanggang Suria serba guna.
🛹 Skateboard dan dinding panjat mini untuk anak muda yang aktif.
🎈 Permainan belon air, ais krim percuma, dan belon berwarna-warni daripada badut menyerikan kawasan taman.
♻️ Sudut kitar semula juga menjadi tarikan — pengunjung menukar bahan kitar semula dan menerima sepasu anak pokok sebagai tanda sokongan terhadap amalan hijau.
Program Penanaman Pokok Suria Park
Dari kiri: Setiausaha MPKS, Tn Hj TPr Mohamad Yusli Askandar; Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon; Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Tn Hj Mohammad Faisal Ismail; dan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Yang Berusaha Saudara Ezuan Miswan, semasa majlis penanaman pokok di Suria Park, Suria Hill, Puncak Alam.
Suria Park bukan sekadar taman, ia simbol bahawa pelaburan masa depan yang mampan ialah apabila kita melabur untuk kesejahteraan komuniti. Dengan setiap pohon yang ditanam, IJM Land meneguhkan komitmen terhadap warisan hijau dan kehidupan seimbang untuk generasi seterusnya. 
Suria Park – Ruang Hijau Bernilai RM3 Juta
Direka oleh HODA Design, Suria Park berdiri di atas tanah seluas 4.42 ekar. Ia dilengkapi dengan:
- Trek jogging 400 meter
 - Laluan mendaki 250 meter di Suria Trail
 - Dua Gelanggang Suria pelbagai guna (futsal, bola keranjang, badminton, pickleball & sepak takraw)
 - Taman papan luncur Skateboard dan Inline Skates
 - Taman Permainan Kanak-Kanak Arena Suria
 - Taman Kucing Meow-Ria
 - Stesen kecergasan luar, gazebo & ruang rehat berbumbung
 - Ruang parkir yang selesa.
 
Reka bentuknya turut mengambil kira akses mesra pengguna dengan laluan tanpa halangan, turapan taktil, serta pencahayaan terang dan sistem pandu arah yang jelas bagi memastikan keselamatan semua pengunjung.
Keindahan Alam Semula Jadi Suria Trail
Antara tarikan menarik di Suria Park ialah Suria Trail, laluan mendaki sejauh 250 meter yang mungkin kelihatan pendek, tetapi memberi pengalaman yang cukup menyegarkan. Ruby sempat mendaki laluan ini semasa pelancaran, dan walaupun hanya beberapa minit perjalanan, langkah demi langkahnya terasa mencabar juga. Berpeluh, tapi menyeronokkan.Sebaik tiba di puncak, suasananya berubah menjadi tenang dan damai. Angin sepoi-sepoi yang menyapa membuatkan penat seakan hilang, sambil mata dihidangkan dengan kehijauan alam di sekeliling. Ia antara lokasi yang cantik untuk OOTD, cuma pengunjung perlu berhati-hati kerana tiada pemegang di bahagian tangga. Namun mungkin itulah keindahan sebenar Suria Trail, keaslian semula jadinya yang tidak diusik menjadikan pemandangannya lebih semula jadi dan menenangkan.
Suria Hill: Perbandaran Bernuansa Resort
Terletak di tanah tinggi seluas 170 ekar, Suria Hill menawarkan suasana seperti percutian setiap hari dengan kepadatan rendah, hanya 10 unit bagi setiap ekar. Kehijauan yang mendamaikan dan udara yang nyaman.- Fasa pertama, Soren, mencatatkan 80% tempahan, membuktikan keyakinan pembeli terhadap potensi pelaburan di sini.
 - Fasa kedua, Sovana, akan dilancarkan pada Februari 2026 dengan kemasan moden termasuk sambungan titik pengasing kenderaan elektrik (EV).
 
Lokasi ini turut dihubungkan dengan akses strategik melalui Persiaran Mokhtar Dahari, Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam (DASH), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) serta Lebuhraya Pantai Barat (WCE), yang memperluas akses utara–selatan. Kemudahan ini dipertingkat lagi dengan pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak kira-kira satu kilometer dari Suria Hill, menambah pilihan pengangkutan moden yang lebih selesa dan efisien.
Gaya Hidup Hijau, Komuniti Sejahtera
IJM Land bukan sekadar membina rumah — mereka membina komuniti. Melalui Suria Park, mereka membuktikan bahawa pelaburan hartanah yang baik bukan sekadar nilai tanah, tetapi nilai kehidupan.
“Suria Park memperkayakan rutin harian. Dari larian pagi hingga waktu santai bersama keluarga. Di sinilah komuniti berkumpul dan berkembang bersama,” ujar Datuk Chai Kian Soon, Ketua Pegawai Operasi IJM Land.
Dari aktiviti penanaman pokok hingga gelak tawa kanak-kanak bermain di taman, Suria Park menjadi simbol bagaimana pembangunan boleh hidup seiring dengan alam dan komuniti. Di sini, setiap langkah membawa makna. Tempat keluarga membina kenangan, jiran menjadi sahabat, dan kehidupan sihat menjadi budaya harian.



















Catat Ulasan
PERHATIAN: Semua komen yang ditinggalkan adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen pembaca. Komen yang melanggar undang-undang adalah tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.