Tahun lalu, saya berpeluang menonton persembahan mereka di ZEPP KL dengan tema Kaleidoscope: 7 Gendang Sedunia. Masih segar dalam ingatan bagaimana hentakan gendang mereka menyatukan pelbagai warna budaya dalam satu pentas. Kini, rasa teruja itu kembali apabila HANDS mengumumkan produksi terbaru mereka Camaraderie.
Apa Itu Camaraderie?
Diambil daripada perkataan Perancis yang membawa maksud persahabatan dan saling percaya, Camaraderie bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah sebuah perjalanan seni yang merayakan hubungan di antara keluarga, rakan seperjuangan, budaya, malah di antara generasi. HANDS mahu membuktikan bahawa muzik adalah bahasa sejagat yang boleh menyatukan kita semua.
Camaderie akan berlangsung dari 14 hingga 16 November 2025 di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama. Produksi ini bakal menggabungkan karya klasik dengan sentuhan baru, kolaborasi rentas negara, serta karya-karya segar yang mencerminkan warisan seni Malaysia dalam bentuk paling kontemporari.
Sorotan Persembahan
✨ Kenangan – karya istimewa ciptaan Teuku Umar, pengasas Gangsapura Gamelan, yang berinspirasikan gamelan Melayu serta perjalanan seni beliau bersama HANDS selama 17 tahun. Sebuah penghormatan muzik terhadap persahabatan dan kerjasama kreatif.
✨ Inspirasi Teochew – persembahan baharu yang menggabungkan irama tradisional, warna dan mitologi Teochew dalam dialog kontemporari penuh berani.
✨ Ikatan Keluarga – momen menyentuh hati apabila pemuzik utama HANDS, Jimmy Ch’ng, akan berkongsi pentas bersama anak perempuannya. Selain itu, penonton juga bakal melihat persembahan daripada Yanhou, pemain dram berusia 10 tahun yang mula berlatih sejak umur 5 tahun.
✨ Kolaborasi Rentas Budaya – persembahan ini turut diperkaya dengan gabungan pelbagai instrumen seperti guzheng, gamelan, selo, ITA Ensemble, serta DeafBeat (kumpulan perkusi cacat pendengaran pertama di Malaysia). Inilah bukti seni tidak terbatas pada bahasa atau kekurangan, tetapi terbuka untuk semua.
Siapa HANDS Percussion?
Ditubuhkan pada tahun 1997, HANDS Percussion adalah di antara pelopor seni persembahan kontemporari Malaysia. Mereka bermula daripada akar 24 Gendang Perayaan, sebuah seni drumming unik ciptaan anak Malaysia. Namun perjalanan mereka tidak terhenti di tanah air. Sejak tahun 2005, HANDS telah mengharumkan nama Malaysia di festival seni antarabangsa di Belanda, Belgium, Greece, Perancis, Australia, Hawaii, Qatar, Dubai, Taiwan, Hong Kong, China, Vietnam, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Mengapa Persembahan HANDS Berbeza?
Ruby pernah menonton pelbagai konsert dan pementasan, tetapi ada sesuatu yang istimewa tentang HANDS. Mereka bukan sekadar bermain muzik. Mereka bercerita dengan gendang. Setiap hentakan ada maksud, setiap ritma ada roh.
Apa yang lebih menyentuh, semangat berpasukan mereka begitu kuat. Setiap ahli saling melengkapi, seolah-olah satu badan yang bernafas melalui irama. Inilah yang membuatkan mereka terus relevan sejak lebih 25 tahun lalu. HANDS membuktikan seni boleh menjadi jambatan antara budaya, malah menyatukan generasi muda dan tua dalam satu pentas.
Jom Meriahkan Camaraderie
📅 Tarikh & Masa:
14 November (Jumaat) – 8:00 malam
15 November (Sabtu) – 3:00 petang & 8:00 malam
16 November (Ahad) – 11:00 pagi & 4:00 petang
🎟 Harga Tiket: RM88, RM128, RM188, RM268
🔥 Promosi Awal (sehingga 15 Oktober 2025):
Diskaun 15% untuk semua tiket individu
Pakej Berkumpulan: Beli 3 tiket, percuma 1 tiket
👉 Beli tiket di sini: OneTix
Bagi Ruby, Camaraderie bukan sekadar sebuah persembahan. Ia adalah jemputan untuk kita merasai keindahan seni yang merentas batas usia, bahasa dan budaya. HANDS Percussion sudah membuktikan bahawa muzik perkusi Malaysia mampu berdiri setanding di pentas dunia, dan kali ini mereka mahu kita semua menjadi sebahagian daripada perjalanan itu.
Jika anda mencari pengalaman seni yang akan menyentuh hati, menggetarkan jiwa dan meninggalkan kenangan indah. Jangan lepaskan peluang menyaksikan Camaraderie. Mari kita raikan persahabatan, legasi, dan irama yang menyatukan manusia.
0 Ulasan
PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.
Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.