Assalammualaikum semua! Selepas pengumuman Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun diumumkan pada 15 April 2025 di media sosial rasmi Inteam. Jualan pula berlangsung pada 22 Mei 2025 jam 3 petang. Dalam tempoh 2 jam, tiket habis dijual! MasyaAllah! Tahniah Inteam!
Ia pasti saat yang tidak dapat dilupakan oleh kumpulan nasyid Inteam. Peminat-peminat masih menyokong dakwah rohani kasih sayang yang Inteam sampaikan. Tahun 2025 ini genap 25 tahun kerjaya seni Inteam. Bersempena Jubli Perak ini, Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun diadakan pada skala besar dan pastinya banyak persediaan sedang dirancang untuk malam konsert yang penuh nostalgia!
KONSERT KASIH KEKASIH INTEAM 25 TAHUN DI LOKASI BAHARU IDEA LIVE ARENA
Inteam mendengar rayuan dan rintihan para peminat. Ada yang meminta untuk tambah lagi hari konsert, ada yang meminta tukar lokasi konsert dan ada juga yang meminta buat konsert secara LIVE boleh tonton di Youtube atau media sosial. Setelah mempertimbangkan semua aspek, kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam mengumumkan berita gembira bahawa mereka telah mendapatkan lokasi baharu yang lebih luas untuk memenuhi kapasiti Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun. Malah tarikh juga turut ditukar kepada 28 September 2025 iaitu hari Ahad.
Lokasi baharu bertempat di Idea Live Arena, Level 2, 3 Damansara Shopping Mall (dulu nama Tropicana City Mall), Petaling Jaya, Malaysia. Idea Live Arena boleh menempatkan kira-kira 4,500 hingga 5,000 tempat duduk. Istimewanya Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun ini juga menyediakan kedudukan penonton yang berasingan di antara lelaki dan wanita. Sambil berhibur, wajib kita menjaga batasan. Itukan lebih manis. Harga tiket juga dijual pada harga mampu milik iaitu bermula dari harga RM100 dan paling tinggi harga RM 258.
Pada sidang media yang berlangsung hari ini, pihak Inteam menyatakan rasa syukur dan terharu apabila tiket konsert di lokasi asal habis dijual dalam tempoh hanya dua jam selepas dilancarkan. Ini membuktikan bahawa sokongan peminat terhadap Inteam dan nasyid kekal utuh selepas lebih dua dekad dalam industri seni tanah air.
"Kami tidak menyangka sambutan sebegitu hebat. Peminat turut mencadangkan agar kami menambah malam kedua atau memilih lokasi yang lebih besar. Maka kami mengambil keputusan untuk berpindah ke Idea Live Arena, Petaling Jaya," kata jurucakap Inteam.
Walau bagaimanapun, tarikh konsert perlu diubah kepada 28 September 2025 kerana ketersediaan lokasi. Pembeli tiket terdahulu tidak perlu bimbang, mereka akan diberikan tempat duduk istimewa dan di zon masing-masing. Pihak urusetia akan menghubungi semua pembeli untuk pengesahan tempat duduk dan pemakluman pertukaran tarikh. Selain itu, hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair akan diberikan sebagai penghargaan kepada pembeli terawal. Korang memang terbaik!
Tiket baharu Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun akan mula dijual pada 14 Jun 2025 (Sabtu) menerusi platform Ticket Empire, yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert www.kasihkekasih.com. Sudahkah anda bersiap sedia untuk battle tiket konsert? Inteam berjanji proses pembelian tiket akan dipertingkatkan dan lebih lancar. Jadi jangan lepaskan peluang!
Bertanya tentang persiapan Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun,"Konsert ini akan menyajikan lebih 25 buah lagu, medley nostalgia, pembahagian segmen mengikut kategori lagu. Segmen lagu Sirah Wanita terhebat dalam Islam iaitu Rabiatul Adawiyah, Halimatus Saadiah, Siti Khadijah, segmen lagu cintai Rasulullah, segmen lagu-lagu kasih kekasih, segmen penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ehmad Hadie Elfardie (17 tahun) dan Sallman Elkhoyri (15 tahun) serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan. InsyaAllah akan menjadi malam istimewa buat kita semua.
Inteam kekal relevan sehingga hari ini kerana sokongan peminat. Malah kami juga mengikuti arus perdana dengan melakukan kolabrasi bersama penyanyi yang popular pada zamannya, generasi muda dan memberi nafas baru dalam karya muzik kami. Kami membaca dan mendengar maklum balas peminat yang menginginkan lagu nasyid yang diberi nafas baru. Kami telah kolabrasi bersama Khai Bahar, Alif Satar, UNIC, Jee Deen, Mesut Kurtis dan ramai lagi. Selain itu kami mempunyai syarikat Inteam Records, Inteam Digital dan Inteam Marketing. Legasi Inteam untuk kita semua. Kami kekal berada di sini dengan harapan setiap dakwah yang kami sampaikan berpanjangan smpai bila-bila. Terima kasih semua yang terus bersama Inteam." jelas Mohd Syahril bin Abdul Khalid, Vokalis Utama dan Ketua Kumpulan Nasyid Inteam.
Menurut Muhammad Hazamin bin Harun, Ahli Kumpulan Nasyid Inteam, "Kami turut bersyukur dan ingin berterima kasih kepada pihak MINAZ Sdn Bhd yang sudi menjadi penaja utama Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun dan juga rangkaian radio Astro iaitu Zayan, Era, Sinar dan Gegar yang sudi menjadi radio rasmi. Kami juga turut mengucapkan penghargaan kepada Aplikasi Khair, di mana Inteam merupakan duta rasmi dan pernah ditaja ke Perth dan New Zealand untuk persembahan dan rakaman Kembara Selawat.Peluang penajaan dan kolaborasi masih dibuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama menjayakan konsert ini. InsyaAllah Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun tidak terhenti hanya di sini. Kami akan mengadakan Jelajah Konsert Kasih Kekasih Malaysia yang dirancang untuk diadakan selepas ini. Agar kami dapat mendekati para peminat dari seluruh pelusuk dunia. Kami akan datang kepada anda! Terima kasih di atas sokongan selama 25 tahun ini.", jelas beliau.
Ruby diantara peminat Inteam yang membesar dengan lagu-lagu dakwah mereka. Dulu, masa Ruby tingkatan 2, tahun 2001 lagu Rabiatul Adawiyah original ni keluar dekat TV. Tiap kali keluar lagu tu, kawan baik mesti telefon. "Weyy buka tv cepat. Lagu kau keluar.". Ketika itu Norizzati lah yang rajin tunggu bila muzik video Rabiatul Adawiyah dari Inteam ni keluar. Di antara 3:30 petang sebelum Solat Asar. Ruby masih ingat! Hahaha. Zaman itu mana ada youtube atau channel khas nak tengok lagu tertentu.
Terima kasih Inteam, kami adalah sebahagian dari sejarah gelombang Inteam mendunia pada ketika itu. Dapat jumpa abang-abang Inteam adalah satu penghormatan bagi Ruby. Sebab Nasyid mereka, mencorakkan siapa kita generasi hari ini. Sebab Inteam, kami berdua tanam impian nak belajar ke peringkat universiti. Tak dapat masuk UIA tak apa! Asalkan sambung belajar. Kehidupan di kampus universiti memang best! Setuju?
Peminat yang tidak berkesempatan membeli tiket sebelum ini boleh bersiap sedia pada 14 Jun 2025 nanti di www.kasihkekasih.com. Nantikan pengumuman seterusnya di media sosial rasmi Inteam.
إرسال تعليق
PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.
Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.