YAYASAN AEON MALAYSIA BANTU MANGSA BANJIR

YAYASAN AEON MALAYSIA BANTU MANGSA BANJIR

Ruby
0
YAYASAN AEON MALAYSIA BANTU MANGSA BANJIR | Assalammualaikum semua! Inisiatif murni dari pelbagai pihak yang ingin membantu mangsa banjir semakin dipermudahkan. Kali ini, Yayasan AEON Malaysia (MAF) terus melebarkan sayapnya menyantuni mereka yang memerlukan, selaras dengan objektif penubuhannya.

Terkini, Yayasan AEON Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor. Bantuan pasca banjir amat diperlukan oleh rakyat Malaysia yang terkesan. Semoga inisiatif Yayasan AEON Malaysia diteruskan di semua negeri yang terkesan. Terima kasih AEON!

YAYASAN AEON MALAYSIA BANTU MANGSA BANJIR


Pada 30 Disember 2021, Yayasan AEON Malaysia di bawah program AEONBantu bersamasama dengan lebih daripada 100 orang sukarelawan AEON yang terdiri daripada 25 kakitangan AEON CO. (M) BHD., 27 kakitangan AEON BiG (M) Sdn. Bhd., 33 kakitangan AEON Credit Service (M) Bhd., dan 17 kakitangan AEON Delight (M) Sdn. Bhd. telah berganding bahu dan bertungkus-lumus membantu penduduk setempat serta pengendali perniagaan di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor yang terkesan dengan banjir yang telah melanda.

Dari kiri; Tsunenori Futagi, Pengurus Besar AEON CO. (M) BHD.; Tsutomu Motomura, Timbalan Pengarah Urusan, AEON CO. (M) BHD.; Nik Surina Suria Nik Abdullah, Pengurus Besar – Komunikasi Korporat, AEON CO. (M) BHD.; Datin Noryahwati Mohamad Noh, Presiden, Yayasan AEON Malaysia; Nobutada Hanaoka, Ketua Pegawai Tadbir Urus, AEON CO. (M) BHD.; Azah Sulaiman, Pengurus - Bahagian Perhubungan Kerajaan, bersiap sedia sebelum gotong-royong bermula.

Kerja-kerja pembersihan dilakukan selama tujuh (7) jam bermula dari 10.00 pagi. Ianya dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di bawah kawal selia Leftenan Kolonel Beh Kok Yew, Pegawai Pemerintah Batalion Regimen 502 (Askar Wataniah), Kem Sungai Buloh. 

Para sukarelawan AEON dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam memastikan kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan dengan sistematik dan efektif. Kumpulan-kumpulan tersebut diberi tugas yang berbeza seperti membersihkan kawasan halaman rumah, jalanraya dan longkang, perabot dan barang barang yang masih boleh digunakan, membuang barangan yang rosak, melakukan aktiviti membersihkan lumpur menggunakan pancutan air, membersihkan fasiliti kemudahan awam dan juga membersihkan sampah sarap selepas banjir.
 
Menurut Datin Noryahwati Mohamad Noh, Presiden, Yayasan AEON Malaysia, “Kami di Yayasan AEON Malaysia sentiasa prihatin dengan mereka yang memerlukan dan akan sentiasa menghulurkan bantuan justeru program-program kemanusiaan yang dijalankan samada secara bersendirian atau menerusi kolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO)”.

“Program-program kemanusiaan yang dijalankan merangkumi sumbangan barangan, kewangan serta tenaga kerja para sukarelawan yang sejajar dengan salah satu nilai murni konsep Keluarga Malaysia iaitu; Keterangkuman yakni saling menghormati dan mengasihi sesama ahli keluarga dan satu sama lain”, ujar Datin Noryahwati.


Terdahulu pada 23 Disember 2021, Yayasan AEON Malaysia menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. 600 pek sumbangan yang mengandungi barangan seperti peralatan kebersihan dan kesihatan, sabun, pelitup muka, tuala, tuala wanita dan kain selimut telah diagihkan. Ianya membabitkan satu pusat pemulihan banjir iaitu Masjid Kampung Jawa, Hulu Langat serta dua pusat kutipan bantuan iaitu Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Pejabat Daerah Petaling.

Sebelum itu, Yayasan AEON Malaysia menghulurkan bantuan pada 19 Disember 2021 kepada mangsa-mangsa banjir. Sumbangan seperti makanan kering, minuman serta  barangan kebersihan dan kesihatan diagihkan kepada 450 keluarga di tiga pusat bantuan iaitu SK Agama Kg. Ginching, Sepang; SK Kg. Baharu Lanjut, Sepang; SMK USJ, Subang Jaya  dan juga PPR Kg. Baru Hicom, Shah Alam. 

Yang Berhormat Dato' Hajah Siti Zailah Mohd  Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pasukan daripada kementerian turut hadir di dua pusat bantuan di Sepang. 

Nobutada Hanaoka, Ketua Pegawai Tadbir Urus, AEON CO. (M) BHD bersama beberapa sukarelawan AEON di bawah Yayasan AEON Malaysia sedang memberikan khidmat masyarakat. 

Datin Noryahwati Mohamad Noh, Presiden, Yayasan AEON Malaysia turun padang dan turut memberikan khidmat Masyarakat.

Inisiatif yang dijalankan oleh Yayasan AEON Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir adalah sejajar dengan usaha AEON untuk memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 12 - Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, yang memberi tumpuan ke arah memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan. 

Ia juga untuk memastikan penggunaan sumber yang baik, meningkatkan kecekapan tenaga, infrastruktur yang mampan, dan menyediakan akses kepada perkhidmatan asas, kelestarian dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik  untuk semua.

MENGENAI YAYASAN AEON MALAYSIA


Diilhamkan untuk mendampingi golongan yang memerlukan, Yayasan AEON Malaysia ditubuhkan pada tahun 2004 oleh AEON yang merupakan peruncit pertama di Malaysia yang memulakan yayasan amalnya sendiri. 

Sehingga kini, Yayasan AEON Malaysia telah menyumbang lebih daripada RM15 juta  dalam melaksanakan pelbagai program kelestarian komuniti. 

Yayasan AEON Malaysia merupakan cabang tanggungjawab korporat AEON Group Malaysia. Ianya sentiasa berusaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang tiada akses kepada keperluan asas seperti pendidikan, tempat tinggal serta bantuan perubatan. 

Ia juga bertujuan untuk turut memberikan bimbingan kepada generasi muda dalam menangani cabaran sosial masa kini tanpa mengira bangsa dan agama, dan seterusnya mengembangkan potensi mereka demi masa depan yang lebih bermakna.

AEON Group Malaysia terdiri daripada lapan organisasi iaitu AEON CO. (M) BHD., AEON BiG (M) Sdn. Bhd., AEON Fantasy (M) Sdn. Bhd., AEON Credit Service (M) Berhad, AEON TopValu (M) Sdn. Bhd., AEON Global Supply Chain Sdn. Bhd., AEON Delight Sdn. Bhd. dan Yayasan AEON Malaysia. 

Kepelbagaian operasi AEON Group Malaysia merangkumi pasar raya, peruncitan, dan jenama pusat membeli-belah, perkhidmatan kewangan dan kredit, pengurusan kemudahan fasiliti bersepadu, pengkomersialan jenama swasta berkualiti tinggi yang memfokuskan pada produk dari Malaysia dan Jepun, perkhidmatan pembelajaran dan hiburan untuk kanak-kanak juga keluarga, serta pengurusan khusus rantaian logistik dan pembekalan.  
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !