Munafik: Melawan Iblis Versi Indonesia, Mampukah Menandingi Munafik Syamsul Yusof?

Assalammualaikum semua! Kali ini Ruby kembali ke pawagam sempena malam gala Munafik: Melawan Iblis, sebuah karya yang cukup menarik perhatian kerana membawa kembali dunia Munafik yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem arahan Syamsul Yusof hampir 10 tahun lalu. 

Apabila diumumkan Munafik diangkat semula dalam versi Indonesia, mestilah persoalan pertama yang bermain di fikiran. Mampukah versi ini menandingi Munafik yang kita kenali? 

Munafik: Melawan Iblis Versi Indonesia, Mampukah Menandingi Munafik Syamsul Yusof?

Tetapi sejujurnya, sepanjang menonton Munafik: Melawan Iblis, Ruby akhirnya tak terlalu sibuk mencari perbandingan.

Ruby just enjoy the movie!

Cukuplah kita tahu dunia Munafik berkisar tentang gangguan yang berpunca daripada perbuatan syirik manusia serta seorang perawat Islam yang membantu mereka yang diganggu, sebelum gangguan tersebut akhirnya turut menghampiri dirinya dan orang-orang yang disayangi.

Jadi kali ini, Ruby masuk pawagam dengan satu tujuan — nak tengok bagaimana Indonesia membawa dunia Munafik dengan identiti mereka sendiri.

Munafik Kini Diberikan Nafas Indonesia


Munafik: Melawan Iblis diarahkan oleh Guntur Soeharjanto dan diterajui Arya Saloka sebagai Ustaz Adam serta Acha Septriasa sebagai Fitri.

Filem ini bukan sekadar menyalin semula karya asal. Menurut Penerbit Eksekutif Datuk Dr. Yusof Haslam, adaptasi ini diberikan nafas dan identiti tersendiri untuk mendekati generasi penonton baharu.

Dan selepas menontonnya sendiri, Ruby memang dapat rasakan identiti Indonesia itu.

Ada perkara yang familiar buat mereka yang pernah menonton Munafik, tetapi daripada suasana, lokasi, bahasa, karakter sehinggalah cara elemen seramnya dipersembahkan, Munafik: Melawan Iblis mempunyai rasanya sendiri.

Opening Ruqyah Terus Buat Bulu Roma Meremang


Belum sempat nak tarik nafas, filem terus membuka cerita dengan Ustaz Adam melakukan rawatan Islam — ruqyah.

Ruby memang puas hati dengan babak-babak ruqyah dalam filem ini.

Bukan sekadar pesakit menjerit kemudian muncul jumpscare. Gerakan tubuh mereka yang terkena gangguan, mantera yang dibaca, reaksi terhadap ayat-ayat al-Quran dan bagaimana gangguan tersebut cuba melawan Ustaz Adam diberi sentuhan yang menakutkan.

Ada satu ketika Ustaz Adam membaca ayat al-Quran dan makhluk yang mengganggu itu menyambung bacaannya.

Haaa… part ini memang Ruby meremang bulu roma!

Apa yang Ruby suka, babak ruqyah bukan sekadar digunakan untuk membuatkan kita takut atau terkejut. Ada rasa puas apabila melihat Ustaz Adam berjaya membantu mereka yang diganggu dan menghapuskan gangguan tersebut.

Menariknya, Arya Saloka memang menjalani persediaan intensif untuk membawa watak Ustaz Adam, termasuk mendalami ilmu ruqyah serta memperhalusi bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Di Sebalik Ustaz Adam Yang Membantu Orang Lain


Walaupun kita melihat Ustaz Adam sebagai seorang yang kuat ketika membantu orang lain, dirinya sendiri sebenarnya sedang bergelut dengan satu kehilangan yang sangat besar.

Isteri dan anaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Namun Ustaz Adam masih belum dapat menerima sepenuhnya apa yang berlaku. Malah, dalam fikirannya, anaknya masih hidup dan sentiasa berada bersamanya.

Bab ini memang sedih.

Di sinilah Ruby rasa cerita ini bukan semata-mata tentang melawan iblis atau gangguan mistik.

Bagaimana seseorang yang selama ini membantu dan membimbing orang lain menghadapi ujian apabila kehilangan berlaku kepada dirinya sendiri?

Bahan produksi turut meletakkan kehilangan, rasa bersalah dan krisis kepercayaan Ustaz Adam sebagai antara teras emosi filem ini.

Ruby tak nak cerita lebih-lebih bahagian ini. Nanti spoiler pula!

Acha Septriasa, Arya Saloka Dan Semua Memang Kena “Kerja Keras”


Lakonan Arya Saloka, Acha Septriasa dan keseluruhan barisan pelakon memang best.

Malah, Ruby tengok sampai terfikir…

Ini pelakon ke stuntman ni? Hahaha!

Kena campak sana sini. Jatuh. Berlari. Bergelut. Kerasukan.

Acha sebagai Fitri pula memang ada beberapa babak yang Ruby masih teringat selepas keluar pawagam.

Di rumah Fitri sahaja dah macam-macam berlaku. Berlari, hilang daripada pandangan dan muncul semula dengan aksi yang bukan biasa-biasa.

Siap panjat dinding!

Dan rupanya bukan Ruby seorang yang rasa aksi fizikal Acha memang intense. Menurut bahan produksi, Acha sendiri melakukan pelbagai babak fizikal termasuk adegan kerasukan dan merayap di dinding.

Patutlah tengok pun rasa penat sekali. Hahaha!

Lokasi Pun Jadi Sebahagian Daripada Seram


Satu lagi perkara yang Ruby sangat suka ialah penggunaan lokasi dan sinematografinya.

Suasana kampung di Indonesia sangat cantik. Bukit-bukau, pantai dan landskapnya dirakam dengan penuh seni.

Ada ketika kita tengah tengok filem horror pun sempat terpegun dengan pemandangan.

Pengarah fotografi filem ini ialah Enggar Budiono, dengan keseluruhan penggambaran dilakukan di Indonesia selama 24 hari.

Tetapi apabila lokasi digunakan untuk membina suasana seram…

Haaa, lain pula jadinya.

Ruby masih ingat suasana di rumah Fitri.

Kemudian bilik mayat di hospital.

Yang ini Ruby dah mula tutup mata!

Ada yang tarik kaki, ada babak bersembunyi di sebalik selimut dan kemudian masuk pula ke ruang penyimpanan mayat.

Dah dalam tempat macam itu pun masih nak kena kacau?

Ruby tengok celah-celah jari aje. Hahaha!

Kemudian muncul pula seseorang yang sangat disayangi — ibu sendiri.

Dan kalau bilik mayat belum cukup…

Kilang kelapa sawit.

Aduhai.

Suasana lokasi itu sendiri sudah membuatkan Ruby rasa tak sedap hati. Apabila digabungkan pula dengan pencahayaan, bunyi dan kita sendiri tak tahu apa yang akan muncul selepas itu…

Tangan naik tutup muka sekali lagi. Hahaha!

Seram Bukan Sekadar Jumpscare


Ini antara perkara yang Ruby suka tentang pengalaman menonton Munafik: Melawan Iblis.

Bagi Ruby, filem ini tidak bergantung kepada jumpscare semata-mata.

Memang ada babak yang membuatkan kita terkejut, tetapi ada juga rasa seram yang dibina melalui suasana, lokasi dan jangkaan kita sendiri.

Kita tahu sesuatu akan berlaku.

Kita tahu mungkin ada “benda” akan muncul.

Tapi kita tak tahu bila!

Yang itulah seksa dia. Hahaha!

Dalam masa sama, elemen ruqyah memberikan satu kepuasan yang berbeza. Selepas dibuat takut dan berdebar, kita pula mahu melihat bagaimana Ustaz Adam berdepan dan melawan gangguan tersebut.

Indonesia Memang Pandai Buat Filem Horror


Jadi kembali kepada persoalan pada tajuk artikel ini.

Mampukah Munafik: Melawan Iblis versi Indonesia menandingi Munafik Syamsul Yusof?

Ruby rasa kita tak perlu terlalu sibuk mencari siapa lebih hebat.

Kalau masuk pawagam sambil asyik mencari:

“Eh, yang ini sama.”

“Yang ini lain.”

“Versi Malaysia lagi bagus.”

“Versi Indonesia lagi seram.”

Penatlah tengok filem macam tu. Hahaha!

Ruby pilih untuk menikmati Munafik: Melawan Iblis sebagai sebuah filem dengan identitinya sendiri.

Dan satu perkara yang kita kena akui "Indonesia memang pandai buat filem horror."

Mereka tahu bagaimana menggunakan lokasi, suasana, bunyi dan pergerakan watak untuk membuatkan kita rasa tidak selesa sebelum sesuatu pun berlaku.

Ada persamaan yang mengingatkan kita kepada Munafik yang kita kenali, tetapi versi Indonesia mempunyai cara tersendiri untuk membawa rasa seram itu.

Ruby tak nak cerita lagi.

Kalau Ruby cerita apa yang muncul, siapa yang buat, siapa sebenarnya di sebalik gangguan dan bagaimana semuanya berkait dengan Ustaz Adam…

Tak seramlah korang tengok nanti! Hahaha!

Sinopsis Munafik: Melawan Iblis


Ustaz Adam merupakan seorang pengamal ruqyah yang disegani, namun kehidupannya berubah selepas satu kemalangan jalan raya meragut insan yang disayanginya.

Ketika dirinya sendiri masih bergelut dengan kehilangan tersebut, Adam diminta membantu Fitri, anak kepada Haji Mansur, yang mula mengalami gangguan selepas menemui sebuah tangkal misteri di rumahnya.

Apa yang pada awalnya kelihatan seperti gangguan spiritual biasa membawa Ustaz Adam kepada sesuatu yang jauh lebih besar — dan memaksanya berdepan bukan sahaja dengan kejahatan manusia dan iblis, tetapi juga kesedihan yang masih menghantui dirinya.

Sinopsis diringkaskan daripada sinopsis rasmi produksi.

Info Filem Munafik: Melawan Iblis


Genre: Supernatural Horror / Religious Thriller / Psychological Drama
Pengarah: Guntur Soeharjanto
Terbitan: Unlimited Production & Skop Productions
Penerbit Eksekutif: Datuk Dr. Yusof Haslam
Pelakon: Arya Saloka, Acha Septriasa, Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara, Nova Eliza, Widi Dwinanda, Elvira Devinamira, Oce Permatasari dan Annisa Hertami
Durasi: 105 minit
Lokasi Penggambaran: Indonesia
Tarikh Tayangan Malaysia: 1 Oktober 2026

Jadi, Berani Tengok?


Munafik: Melawan Iblis..

Ada seramnya. Ada sedihnya. Ada babak yang buat Ruby meremang dan ada juga babak yang menyebabkan tangan terus naik tutup muka.

Tetapi paling penting, Ruby masuk pawagam tanpa terlalu memikirkan perbandingan dan keluar dengan pengalaman menonton yang Ruby enjoy.

Kalau korang pernah menonton Munafik hampir 10 tahun lalu, kali ini masuklah dengan fikiran terbuka dan lihat sendiri bagaimana Indonesia membawa dunia Munafik dengan cara mereka. 

Munafik: Melawan Iblis Versi Indonesia, Mampukah Menandingi Munafik Syamsul Yusof?


Munafik: Melawan Iblis kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 1 Oktober 2026.

Selamat menonton. 

ruby.my Editorial Team

ruby.my ialah portal media bebas berbahasa Melayu, melaporkan Berita, Hiburan, Gaya Hidup, Libur, Halal, Komuniti dan Korporat di Malaysia. Kami menekankan fakta, keseimbangan, dan storytelling sopan untuk pembaca Malaysia.

Terbaru Lebih lama

نموذج الاتصال