“Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?” – Kekuatan Doa Membalut Luka Hati Seorang Wanita

Kuala Lumpur, 5 Februari 2026 – Malam tadi, kami berpeluang menonton filem Indonesia penuh emosi, Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?, dan terus rasa ingin berkongsi pengalaman ini kepada pembaca. Filem ini bersedia menyentuh hati penonton Malaysia, tayangannya bermula 5 Februari 2026, hasil kolaborasi Paragon Pictures, Ideosource Entertainment dan Astro Shaw.

“Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?” – Kekuatan Doa Membalut Luka Hati Seorang Wanita

Filem ini dibintangi Revalina S. Temat, yang popular dengan watak Bawang Putih di Malaysia, bersama Gunawan Sudrajat, Megan Domani, Annisa Kaila, Roy Sungkono, Risma Nilawati dan ramai lagi. Diarahkan oleh Jay Sukmo, yang terkenal dengan karya emosional seperti The Chocolate Chance dan Jendela Seribu Sungai, filem ini menyelami tema pengkhianatan, kemaafan, dan kekuatan doa dari sudut pandang seorang Ibu.

Watak Sarah (lakonan Revalina) yang sudah bercerai dengan suaminya perlu tinggal sebumbung dengan isteri baharu dan bekas suaminya yang baru mengalami strok demi melindungi anaknya Laila. Konflik emosi semakin mendalam apabila anaknya sendiri, Laila (Annisa Kaila), menunjukkan perubahan personaliti akibat dari perceraian ibu bapa mereka. Tanpa mengetahui perubahan ketara Laila adalah sejak ibu bapa masih bersama. Apabila anak mula liar dan tidak mendengar kata, Sarah menyalahkan dirinya kerana pengorbanan selama hari ini tidak dipandang.

Kisah ini bukan sekadar konflik rumah tangga biasa, ia menyentuh realiti kehidupan, menunjukkan bahawa kekuatan seorang wanita datang dari keikhlasan, doa, dan keberanian untuk memaafkan. Setiap perjalanan kehidupan Sarah nampak susah dan banyak ujian, tetapi dia boleh melaluinya tanpa sedar.

Bagi saya, salah satu momen paling menyentuh adalah saat Sarah berdiam diri dalam kesedihan, memendam luka, namun terus berdoa untuk kebahagiaan anaknya. Keikhlasan ini membuatkan penonton dapat merasai emosi watak, hingga tak terduga air mata menitis di beberapa babak. Filem ini berhasil menyampaikan mesej bahawa doa-doa yang tak terucap tetap didengar, dan setiap pengorbanan ibu mempunyai makna tersendiri.



Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan Astro Shaw bertanggungjawab dalam pemasaran dan pengedaran di Malaysia. Manakala Robert Ronny, Ketua Pegawai Eksekutif Paragon Pictures, menekankan bahawa filem ini bukan sekadar cerita perceraian atau konflik, tetapi juga pandangan seorang anak yang terkesan dengan perpisahan ibu bapa.

Sebagai penonton, saya rasakan filem ini bukan sekadar hiburan. Ia adalah refleksi kehidupan, surat cinta untuk mereka yang bergelut dengan luka kehidupan, dan peringatan bahawa doa dan keikhlasan adalah kekuatan sebenar.

Saksikan Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? di pawagam seluruh Malaysia mulai 5 Februari 2026. Ikuti media sosial Astro Shaw untuk info terkini dan kisah di sebalik tabir filem ini.
Terbaru Lebih lama