Keluarga Iskandar Kembali Selepas 12 Tahun, Bermula 6 Februari Ini

Selepas lebih sedekad menyepi, doa dan harapan para peminat akhirnya terjawab apabila siri ikonik Keluarga Iskandar kembali menemui penonton menerusi musim terbaharu, Keluarga Iskandar 3. Pengumuman rasmi ini sekali gus mencetuskan gelombang keterujaan luar biasa, khususnya di media sosial.

Kebangkitan semula siri ini mula mencuri perhatian ramai selepas pihak Astro Malaysia melancarkan poster dan trailer rasmi. Ruangan komen di media sosial seakan bertukar menjadi medan nostalgia, apabila rata-rata netizen meluahkan rasa rindu terhadap keluarga paling ‘havoc’ dan penuh warna yang pernah mencorakkan zaman remaja mereka.

Keluarga Iskandar Kembali Selepas 12 Tahun, Bermula 6 Februari Ini

 
“Tak sangka lepas 12 tahun akhirnya Keluarga Iskandar kembali. Ini drama zaman remaja aku!” antara komen yang meraih ratusan tanda suka. Tidak kurang juga yang menyifatkan kemunculan semula siri ini sebagai antara comeback paling dinanti dalam sejarah drama tempatan.

Trailer rasmi yang dimuat naik di platform Bambam Studios turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila meraih lebih 600,000 tontonan, sekali gus membuktikan bahawa Keluarga Iskandar masih mempunyai tempat istimewa di hati penonton. Rata-rata memuji jalan ceritanya yang dikatakan masih mengekalkan ‘rasa’ lama, namun diolah dengan pendekatan yang lebih segar dan relevan dengan penonton masa kini.

Antara perkara paling kerap dibangkitkan dalam ruangan komen ialah harapan agar barisan pelakon utama dikekalkan. “Kalau pelakon asal ada, memang lengkap nostalgia,” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi berkongsi, “Tak sabar nak tengok dinamika keluarga ni balik, harap lawak dan emosi masih jadi.”

Buat peminat setia yang sudah lama menunggu, Keluarga Iskandar 3 akan mula bersiaran bermula 6 Februari, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Sooka.
Terbaru Lebih lama