FitsAir Perkukuh Kehadiran Di Malaysia, Tawar Laluan Terus KL–Colombo Dan Rangkaian Destinasi Serantau

KUALA LUMPUR, 30 Januari 2026 – Syarikat penerbangan dari Sri Lanka, FitsAir, secara rasmi memperkukuhkan kehadirannya di pasaran Malaysia menerusi sebuah majlis pelancaran bersama rakan industri pelancongan yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini. 

FitsAir Perkukuh Kehadiran Di Malaysia, Tawar Laluan Terus KL–Colombo Dan Rangkaian Destinasi Serantau

Majlis ini menghimpunkan wakil FitsAir, pemain industri pelancongan serta ejen perjalanan tempatan, sekali gus menandakan langkah strategik FitsAir dalam memperluaskan rangkaian penerbangannya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Buat masa ini, FitsAir mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka sebanyak tiga kali seminggu iaitu setiap Rabu, Jumaat dan Ahad, dengan semua penerbangan berlepas dan tiba di KLIA2.

Selain Colombo, FitsAir turut menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi lain termasuk Dhaka (Bangladesh), Lahore (Pakistan), Male’ (Maldives) dan Dubai (UAE), menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab penting dalam rangkaian serantau syarikat penerbangan tersebut.

Rancangan Pengembangan Laluan Antarabangsa


FitsAir turut berkongsi perancangan untuk memperluaskan lagi rangkaian destinasi mereka dalam masa terdekat, merangkumi bandar-bandar utama seperti Bangkok, Singapura, Jakarta, Chennai, Bangalore, Trichy, Trivandrum, Riyadh, Jeddah dan Kuwait.

Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan FitsAir untuk menghubungkan Asia Selatan dengan Asia Tenggara dan Timur Tengah, sambil menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang perniagaan dan pelancong.

Pilihan Perkhidmatan: Business Class Dan Ekonomi


Sebagai sebahagian daripada peningkatan tawaran produk, FitsAir telah memperkenalkan perkhidmatan Business Class bagi laluan serantau bermula April 2025. Kabin premium ini menggunakan konfigurasi tempat duduk 2×2 di pesawat Airbus A320-200, lengkap dengan elaun bagasi daftar masuk sehingga 40kg, akses lounge, perkhidmatan keutamaan serta hidangan percuma dalam penerbangan.

Pada masa yang sama, FitsAir kekal mengekalkan konsep perkhidmatan ekonomi mesra bajet, memberi fokus kepada kecekapan dan kebolehpercayaan bagi pasaran Asia Selatan dan Timur Tengah. Kabin ekonomi menawarkan tempat duduk slimline dengan elaun bagasi tangan 7kg, pilihan bagasi daftar masuk (biasanya antara 20kg hingga 30kg bergantung kepada tambang), serta snek yang boleh dibeli dalam penerbangan.

Mesra Penumpang Muslim Dari Kuala Lumpur


Bagi penerbangan yang berlepas dari Kuala Lumpur, hidangan dalam pesawat disediakan oleh katering tempatan yang mempunyai pensijilan halal. Untuk penerbangan dari destinasi lain, penumpang Muslim disarankan membuat permintaan Muslim Meal lebih awal semasa tempahan tiket bagi memastikan hidangan yang sesuai sepanjang perjalanan. 

Pendekatan ini sejajar dengan komitmen FitsAir dalam memenuhi keperluan penumpang dari pelbagai latar belakang, khususnya bagi laluan yang melibatkan negara-negara Asia Selatan dan Timur Tengah.

Perkukuh Hubungan Pelancongan Serantau


Pelancaran ini mencerminkan aspirasi FitsAir untuk memainkan peranan lebih besar dalam menggalakkan perjalanan dua hala antara Malaysia dan negara-negara jiran, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serantau.

Dengan pertambahan laluan dan peningkatan perkhidmatan, FitsAir dilihat berpotensi menjadi pilihan alternatif kepada pengembara yang mencari penerbangan terus ke destinasi Asia Selatan dan Timur Tengah pada harga yang kompetitif.

Maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan, tambang dan perkhidmatan boleh diperoleh terus melalui saluran rasmi FitsAir. www.fitsair.com


Terbaru Lebih lama