AirAsia Perkenal Pilihan Hijab Untuk Kru Kabin

AirAsia hari ini mengumumkan berita besar yang tentunya menggembirakan ramai pelanggan setia. Bermula suku pertama 2026, tepat pada bulan Ramadan, kru kabin wanita kini mempunyai pilihan untuk bertugas dengan pakaian seragam berhijab.

Bagi Ruby, ini satu perkembangan yang menyentuh hati kerana ia menunjukkan bagaimana syarikat penerbangan ini mendengar suara kakitangan dan semakin memahami kepelbagaian budaya, agama dan keperluan wanita Muslim. 


AirAsia Perkenal Pilihan Hijab Untuk Kru Kabin

AirAsia Perkenal Pilihan Hijab Untuk Kru Kabin

Pakaian Seragam Baharu, Profesionalisme Dikekalkan


Menurut AirAsia, pakaian seragam merah ikonik mereka tetap dikekalkan. Namun kini ia hadir dengan pilihan hijab dan seluar, mengikut reka bentuk sama seperti kru yang bertugas di laluan Jeddah sebelum ini.

Bo Lingam, CEO AirAsia Aviation Group, menekankan bahawa polisi ini dibentuk hasil maklum balas kru sendiri. Merupakan langkah yang dilihat selari dengan identiti AirAsia sebagai organisasi global yang meraikan tenaga kerja pelbagai latar belakang.

AirAsia juga menegaskan bahawa evolusi pakaian ini tetap menjaga tiga keutamaan utama mereka: 
  • Profesionalisme 
  • Keselamatan 
  • Keselesaan 

Pada pendapat Ruby, apabila sebuah syarikat benar-benar mengambil berat tentang kesejahteraan pekerja sampai ke tahap pakaian kerja. Itu menandakan budaya korporat yang matang.

Suara Kakitangan Didengari


Suhaila Hassan, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, menjelaskan bahawa Allstars (nama untuk kakitangan AirAsia) datang daripada pelbagai budaya dan kepercayaan, namun tetap bersatu dengan matlamat sama: memberi perkhidmatan bertaraf dunia. Jadi apabila ramai kru wanita menyuarakan minat untuk bekerja dengan hijab, adalah wajar AirAsia membuka ruang ini.

Tan Sri Dato' Sri Tony Fernandes, CEO AirAsia pula menambah bahawa menghormati kepelbagaian adalah tunjang kepada kejayaan AirAsia selama ini dan keputusan ini ialah hasil kesediaan mendengar dan berubah mengikut keperluan semasa.

Ruby sangat menyokong usaha AirAsia membuka pilihan hijab kerana ia:

  • Memberi keyakinan kepada kru wanita Muslim 
  • Mencerminkan perkembangan industri penerbangan serantau 
  • Lebih bersesuaian dengan tetamu dari pelbagai negara, khususnya destinasi Muslim 

Keberanian AirAsia Wajar Dipuji


Walaupun masih ada ruang penambahbaikan dari segi menutup aurat mengikut syariat Islam yang sewajarnya. Namun dari segi kesopanan, Ruby tetap rasa langkah AirAsia ini sangat positif dan progresif. Langkah demi langkah. Perubahan ini bukan sahaja memudahkan kru wanita bertugas dengan yakin, tetapi juga menunjukkan bahawa syarikat besar boleh mendengar suara pekerja dengan hati terbuka. Terima kasih AirAsia. 

Sumber: https://newsroom.airasia.com/news/airasia-perbaharui-polisi-pakaian-seragam-kru-kabin-yang-lebih-inklusif-dengan-pilihan-hijab




Post a Comment

PERHATIAN: Semua komen yang ditinggalkan adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen pembaca. Komen yang melanggar undang-undang adalah tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Terbaru Lebih lama