KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER 2025 - Dalam sidang media yang penuh emosi, MaPeR menyeru semua mangsa skim pelaburan palsu agar tidak lagi bersembunyi. Suasana di bilik sidang media tenang tetapi sarat dengan emosi. Seorang demi seorang mangsa bangun berkongsi kisah mereka suara bergetar, mata berkaca, namun kata-kata mereka penuh keberanian. “Kami tak mahu ada mangsa baru,” ujar seorang warga emas berusia 71 tahun yang suatu ketika dahulu percaya pada janji manis kononnya pelaburan itu dijamin oleh pihak bank.

Inilah sidang media ketiga yang dianjurkan oleh MaPeR sejak tahun 2023. Tujuan mereka jelas: membuka mata masyarakat bahawa skim pelaburan palsu bukan lagi kisah di media sosial semata-mata. Ia sudah menghancurkan kehidupan sebenar. Di sebalik wajah letih dan mata berkaca, mereka berkumpul bukan untuk meraih simpati, tetapi untuk menuntut keadilan dan menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati terhadap pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa.


sidang media MaPeR mangsa scam pelaburan

Tiga Tahun, Satu Perjuangan


Menurut Pengerusi MaPeR, Encik Shah Abdul Malek, perjuangan mereka bermula apabila seorang pelabur warga Britain, Lee Rodger Meiklejohn, tampil membuat pendedahan pada tahun 2023 selepas ditipu jutaan ringgit dalam skim pelaburan yang melibatkan individu berprofil tinggi.

Tahun 2024 menyaksikan sidang media kedua, memaklumkan kemajuan kes dan tindak balas pihak berkuasa.


Namun pada Oktober 2025, kisah ini kembali dibentangkan. Kali ini dengan lebih ramai mangsa tempatan yang tampil ke hadapan. Mereka datang bukan untuk mencari simpati, tetapi untuk menuntut keadilan dan memberi kesedaran kepada orang ramai. Ada yang berusia 60-an dan 70-an, kehilangan simpanan persaraan seumur hidup. Ada pula yang sudah tidak lagi percaya sistem kewangan negara mampu melindungi mereka.

“Ada yang dah meninggal dunia sebab tekanan. Ada yang masih menangis setiap kali buka buku bank. Scammer hanya menang bila kita diam. Sudah tiba masa mangsa bersatu dan berganding bahu menuntut keadilan,” tegas Encik Shah ketika sidang media.

Seruan Untuk Bangkit Bersama


Dalam ucapan yang sama, Encik Shah menekankan pentingnya mangsa tidak bersembunyi kerana rasa malu atau takut. “Tiada siapa minta ditipu. Mereka mempercayai orang yang salah, itu sahaja. Tapi sekarang mereka boleh menebus kepercayaan itu dengan tindakan dengan bersuara,” tambah beliau.

Sidang media kali ini menjadi simbol kekuatan kolektif. Buat pertama kali, beberapa mangsa tampil mendedahkan bagaimana mereka diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank, lengkap dengan kad nama rasmi dan perincian akaun kononnya disahkan.

Pelaburan itu dijanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, malah ada yang menggunakan nama institusi kewangan sebagai sandaran. Namun, apabila siasatan dijalankan, pihak bank mengesahkan pegawai tersebut tidak pernah wujud dalam rekod mereka.

Sebahagian besar mangsa ialah warga emas yang telah bersara. Mereka menyimpan wang hasil titik peluh seumur hidup untuk anak, untuk pendidikan cucu, untuk hari tua yang tenang. Namun semua itu musnah apabila muncul individu yang menyamar sebagai pegawai bank ternama lengkap dengan kad nama dan dokumen rasmi.

Pelaburan yang dijanjikan kononnya selamat, dijamin oleh bank, dan akan memberi pulangan segera. Ada yang menyerahkan sehingga RM900,000, ada juga yang mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana percaya ia peluang terakhir menambah rezeki.

Antara Kasih, Sunyi dan Manipulasi Dunia Digital


Sebahagian besar mangsa terdiri daripada warga emas, mereka yang sudah bersara, hidup sendirian dan rindu untuk berbual dengan seseorang yang kelihatan mengambil berat. Dalam dunia digital yang serba cepat, keakraban menjadi jarang, dan perhatian menjadi mata wang baru yang disalahguna.

Scammer bukan sahaja memanipulasi akaun bank, tetapi juga emosi dan kepercayaan manusia.

Mereka hadir dalam hidup mangsa dengan kata-kata manis, bertanya khabar setiap pagi, dan mencipta ilusi hubungan yang dipercayai. Akhirnya, hubungan palsu itu bertukar menjadi jerat kewangan yang menghancurkan kehidupan ramai.

Dalam dunia digital yang semakin sunyi, ramai warga emas hidup bersendirian. Anak-anak sibuk dengan kehidupan masing-masing. Ketika ruang komunikasi keluarga semakin jauh, muncullah “penyelamat palsu” yang kononnya prihatin. Mereka mendengar, bertanya khabar, dan mencipta hubungan emosi — sebelum mengorbankan kepercayaan itu untuk kepentingan diri.


Skim pelaburan palsu hari ini bukan sekadar soal wang. Ia memanipulasi perasaan, memperdaya dengan perhatian, dan menjual harapan kepada mereka yang paling mudah percaya.

“Mereka bukan tamak. Mereka cuma percaya pada kebaikan yang salah tempatnya.”


Fakta Kes dan Siasatan Terkini


Menurut laporan rasmi SPRM dan sumber media tempatan, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Wira telah ditahan dan direman pada 3 Julai 2025 berhubung siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan nilai sekitar RM75 juta.

Penahanan itu merupakan sebahagian daripada Operasi Fibre, di mana SPRM dilaporkan telah membekukan 12 akaun bank dan menyita beberapa aset bernilai lebih RM620 juta termasuk hartanah serta kelab golf di Lembah Klang. Siasatan masih diteruskan di bawah undang-undang pencegahan rasuah dan pengubahan wang haram.

Siasatan awal mendapati sebahagian dana tersebut disalurkan ke syarikat milik individu sama, dipercayai bagi meluluskan pembiayaan pinjaman bernilai RM400 juta pada tahun 2012.

Walaupun aset telah disita, siasatan masih berjalan. Ramai mangsa berharap tindakan undang-undang dapat diteruskan agar hak mereka dikembalikan, meskipun proses ini memerlukan masa dan kos yang tinggi.

Peranan MaPeR Dan Harapan Baru


MaPeR ditubuhkan oleh Encik Shah Abdul Malek, yang turut pernah menjadi mangsa penipuan pelaburan pada tahun 2009. Kini, organisasi ini menjadi tempat perlindungan dan rujukan kepada ratusan individu yang terpedaya dengan skim yang sama.

Mereka membantu mangsa membuat laporan rasmi, dan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk SPRM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tujuannya jelas membina kesedaran dan solidariti antara mangsa.

Dalam sidang media terbaru, Encik Shah menyeru agar lebih ramai tampil menyertai MaPeR untuk mengumpulkan bukti bersama dan mempercepatkan proses keadilan. 

“Kita tidak boleh biarkan mereka terus menipu orang lain. Jika hari ini kita diam, esok akan ada lagi yang menjadi mangsa,” katanya.

Seruan Kesedaran Untuk Semua


Artikel ini bukan sekadar laporan. Ia satu seruan kesedaran kepada masyarakat agar lebih peka terhadap modus operandi penipuan yang semakin licik. Antara langkah pencegahan yang disarankan oleh MaPeR dan pihak berkuasa:

  • Jangan beri maklumat peribadi atau kewangan kepada individu tidak dikenali, walaupun mengaku dari institusi rasmi. 
  • Semak identiti dan kelulusan pelaburan di laman rasmi Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti. 
  • Berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan kewangan. 
  • Laporkan segera kepada PDRM atau SPRM jika ragu-ragu dengan tawaran pelaburan “terlalu indah untuk jadi kenyataan.” 

Skim pelaburan palsu ini bukan sekadar kisah kehilangan wang. Ia kisah manusia yang tertipu kerana percaya. Percaya pada janji, pada harapan, dan pada seseorang yang mereka sangka jujur. 

Di penghujung sidang media, seorang mangsa menunduk lama sebelum berkata,

“Dalam saya inginkan keadilan. Saya juga taknak orang lain kena macam saya. Apabila kena scam, kita bukan sahaja hilang duit. Ahli keluarga juga terkesan. Duit dah tiada. Nak teruskan kehidupan macam mana?”

Kata-kata itu menjadi simbol harapan baharu. Bahawa dari luka yang sama, mereka memilih untuk bersuara, bukan bersembunyi lagi.

Semoga setiap kisah ini menjadi peringatan buat kita semua bahawa kepercayaan adalah anugerah, dan ia tidak seharusnya diperdagangkan oleh sesiapa.

Dan mungkin itulah sebab utama Ruby menulis artikel ini supaya setiap pembaca berhenti sejenak, menoleh kepada ibu bapa dan warga emas di sekeliling mereka, dan bertanya dengan lembut:

“Mak, ada orang telefon pasal pelaburan ke?” 
“Ayah, ada orang tak dikenali hubungi?” 
“Tok, ada jumpa siapa-siapa?” 


Kadang-kadang, satu panggilan itu boleh menyelamatkan seluruh simpanan hidup mereka. 

Artikel ini ditulis untuk tujuan kesedaran awam berdasarkan maklumat yang tersedia secara terbuka daripada sidang media rasmi, kenyataan SPRM dan laporan media tempatan. Penulis tidak membuat sebarang tuduhan terhadap individu atau entiti tertentu, sebaliknya menekankan kepentingan pencegahan penipuan pelaburan dan keselamatan kewangan masyarakat.

“Jika anda atau ahli keluarga pernah menjadi mangsa, mohon hubungi MaPeR atau laporkan kepada PDRM / SPRM. Jangan biar mereka berdiam diri lagi.”

Sumber: Sidang Media MaPeR (8 Oktober 2025), Siaran Akhbar Rasmi MaPeR, SPRM & laporan media arus perdana.