“Beli Tiket Selamat”: Malaysia Mahu Jadi Hub Konsert Asia, Tetapi Adakah Peminat Sudah Benar-Benar Dilindungi?

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2026 - Ketika Malaysia semakin agresif mempromosikan Kuala Lumpur sebagai hab utama konsert dan hiburan langsung di Asia menerusi KL Headline Season 2026, satu lagi isu besar mula menjadi perhatian ramai adalah keselamatan pembelian tiket dan pengalaman peminat. Pelancaran portal Beli Tiket Selamat oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dilihat sebagai langkah penting dalam menangani peningkatan kes penipuan tiket dan aktiviti scalper yang semakin membimbangkan di Malaysia.

“Beli Tiket Selamat”: Malaysia Mahu Jadi Hub Konsert Asia, Tetapi Adakah Peminat Sudah Benar-Benar Dilindungi?

Portal tersebut diumumkan ketika negara sedang giat menarik lebih banyak konsert antarabangsa sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk siri persembahan artis global seperti Post Malone, The Weeknd, BTS, LANY dan DAY6. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan sebelum ini turut menyatakan bahawa Kuala Lumpur mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi utama hiburan dan pelancongan serantau.

Namun di sebalik keterujaan peminat terhadap kebanjiran konsert antarabangsa, ramai mula mempersoalkan sama ada ekosistem industri hiburan negara sudah benar-benar bersedia untuk melindungi pengguna.

Isu Sebenar Bukan Sekadar Tiket Habis Dijual


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa scam tiket selepas membeli melalui media sosial atau pihak ketiga yang tidak sah. Ada yang sudah membuat bayaran penuh tetapi tidak menerima tiket. Lebih menyedihkan, ada juga peminat yang hanya menyedari mereka ditipu ketika tiba di pintu masuk stadium atau lokasi konsert.

Dalam masa yang sama, isu scalper atau ulat tiket juga semakin serius apabila tiket dibeli secara pukal ketika jualan rasmi sebelum dijual semula pada harga yang jauh lebih tinggi. Walaupun pembelian dibuat melalui platform rasmi, ramai peminat berpendapat sistem sedia ada masih belum cukup kuat untuk menghalang aktiviti pembelian pukal, penggunaan bot dan penjualan semula secara tidak terkawal.

Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan tekanan besar terpaksa ditanggung pihak kerajaan dan kementerian berkaitan apabila pengguna mula hilang keyakinan terhadap pengalaman pembelian tiket konsert.

“Beli Tiket Selamat”: Malaysia Mahu Jadi Hub Konsert Asia, Tetapi Adakah Peminat Sudah Benar-Benar Dilindungi?

Sudah Tiba Masa Sistem Pembelian Tiket Lebih Ketat?


Hari ini, konsert bukan lagi hiburan eksklusif untuk golongan dewasa semata-mata. Ramai remaja seawal usia 13 tahun sudah mula menghadiri konsert bersama ibu bapa atau penjaga. Bagi sesetengah keluarga, menghadiri konsert artis kegemaran menjadi pengalaman istimewa yang dirancang bersama dan melibatkan simpanan wang yang besar. 

Malahan ada Ibu Bapa yang mula menyuarakan pendapat untuk tarikh konsert dari kumpulan-kumpulan kegemaran remaja ini diadakan pada tarikh yang tidak menggangu rutin hari persekolahan pada keesokan hari. Ini dapat membantu gaya hidup sihat dan seimbang. Disebabkan itu, ramai peminat mula berpendapat sistem pembelian tiket di Malaysia perlu bergerak ke arah perlindungan pengguna yang lebih serius.

Antara cadangan yang semakin mendapat perhatian termasuk:

  • Nama Penuh pembeli dicetak pada tiket,
  • Pengesahan Kad Pengenalan atau Passport ketika memasuki lokasi konsert,
  • Had pembelian tiket lebih rendah untuk satu akaun, limit kepada 4 hingga 6 tiket,
  • Pengesahan Ibu Bapa untuk pembeli bawah umur,
  • Serta sistem pemindahan tiket rasmi melalui aplikasi rasmi jualan sahaja.

Menariknya, pendekatan seperti ini sebenarnya telah lama digunakan dalam industri hiburan Korea Selatan dan Jepun. Sebagai contoh, peminat BTS perlu mendaftar melalui Weverse untuk mendapatkan akses pembelian tiket konsert tertentu. Ada acara yang menggunakan membership verification, lottery system dan pengesahan identiti bagi memastikan peluang lebih adil kepada peminat sebenar. Pendekatan tersebut bukan bertujuan menyusahkan peminat, tetapi untuk mengurangkan aktiviti bot, pembelian pukal dan penjualan semula tiket pada harga tidak munasabah.

“Beli Tiket Selamat”: Malaysia Mahu Jadi Hub Konsert Asia, Tetapi Adakah Peminat Sudah Benar-Benar Dilindungi?

Menariknya, ramai peminat turut menyedari satu kebetulan unik apabila singkatan “Beli Tiket Selamat” turut membentuk nama BTS iaitu kumpulan K-pop yang terkenal dengan sistem komuniti peminat yang sangat tersusun dan ketat dalam urusan pembelian tiket. Walaupun hanya satu kebetulan kecil, ramai melihat ia sebagai simbolik bahawa pengalaman hiburan moden hari ini memerlukan sistem perlindungan peminat yang lebih matang.

Industri Tempatan Juga Wajar Berkembang Bersama


Dalam usaha Malaysia mahu menjadi hab konsert utama Asia, ramai juga berharap perkembangan industri hiburan ini turut membuka lebih banyak peluang kepada penyanyi tempatan. Setakat ini, antara contoh yang sering diperkatakan peminat ialah penampilan Bunga ketika konsert Coldplay di Malaysia sebelum ini. Ramai berpendapat adalah lebih wajar budaya ini diteruskan untuk semua konsert hiburan antarabangsa yang membuat persembahan di Malaysia. Agar lebih ramai penyanyi tempatan yang sedang meningkat naik diberi peluang sebagai "Persembahan Pembukaan" untuk konsert antarabangsa dengan mengikut kesesuaian genre dan konsep persembahan penyanyi antarabangsa.

“Beli Tiket Selamat”: Malaysia Mahu Jadi Hub Konsert Asia, Tetapi Adakah Peminat Sudah Benar-Benar Dilindungi?
Dari kiri YB Datuk Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi, YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Paramananthan Rajagopal, Pengarah Urusan Live Nation Malaysia & PR Worldwide, Chan May Ling, Head of Brand and Marketing Services, CelcomDigi dan Datuk Manoharan Periasamy, Chairman Tourism Malaysia ketika melancarkan KL Headline Season 2026.


Langkah tersebut bukan sahaja membantu memperkenalkan bakat tempatan kepada audiens lebih besar, malah boleh menjadi sebahagian daripada pembangunan industri kreatif negara selari dengan objektif Visit Malaysia 2026. Konsert hari ini bukan lagi sekadar hiburan semata-mata. Ia sudah menjadi sebahagian daripada ekonomi pelancongan, budaya dan pembangunan industri kreatif negara.

Dan jika Malaysia benar-benar mahu menjadi hab hiburan utama Asia, ramai percaya ekosistem industri perlu berkembang secara menyeluruh dan bukan hanya menguntungkan penganjur serta penjual tiket, tetapi turut melindungi peminat serta membuka ruang lebih besar kepada bakat tempatan untuk berkembang di pentas antarabangsa.

ruby.my Editorial Team

ruby.my ialah portal media bebas berbahasa Melayu, melaporkan Berita, Hiburan, Gaya Hidup, Libur, Halal, Komuniti dan Korporat di Malaysia. Kami menekankan fakta, keseimbangan, dan storytelling sopan untuk pembaca Malaysia.

Terbaru Lebih lama

نموذج الاتصال